Semua ibu bapa inginkan anak yang sihat. Tapi, ramai di kalangan mereka masih tidak faham makna sihat yang sebenar. Tidak dinafikan bahawa ada ibu bapa beranggapan, jika anak mereka bertubuh besar maknanya dia sihat dan cukup makan. Jadi, tidak perlu risau tentang pemakanannya. Sebaliknya, anak yang bertubuh kecil, dianggap tidak cukup makan walaupun sebenarnya nutrien dan zat yang mereka peroleh setiap hari mencukupi.
Agar anak kurus mereka  jadi ‘gemuk’, ramai ibu bapa tidak kisah apa yang anak mereka makan. Yang pentingnya anak ingin makan. Bagi mereka, lebih baik anak makan makanan segera daripada langsung tidak mahu makan. Tanggapan seperti inilah perlu ditangani segera agar peratusan anak yang dibesarkan dengan makanan segera ataupun makanan siap berkurangan dan digantikan dengan makanan daripada air tangan ibunya sendiri.
Sepatutnya, untuk memastikan ahli  keluarga anda sentiasa sihat, perlulah diamalkan tabiat pemakanan yang berpandukan kepada Piramid Makanan Malaysia.

Bagi memenuhi keperluan tenaga dan tahap pemakanan anda dan keluarga, pilihlah makanan yang terdiri daripada nasi, mi, roti, bijirin dan ubi. Hal ini kerana makanan jenis ini membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh.
Selain itu, jangan lupa tentang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Pastikan anda menghidangkan sekurang-kurangnya 3 hingga 5 hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan sehari kepada ahli keluarga.
Harus diingat, demi untuk kesihatan seisi keluarga, pengambilan lemak, minyak, gula dan garam perlulah dikurangkan. Tidak dinafikan bahawa lemak penting untuk kesihatan kerana membekalkan tenaga, vitamin larut lemak A, K, D, dan E. Namun, pengambilan lemak yang berlebihan akan menjejaskan kesihatan.
Bagi menyediakan sendiri makanan untuk keluarga, ada beberapa perkara perlu anda praktik. Antaranya ialah pemilihan bahan mentah. Pastikan bahan-bahan tersebut segar, tidak busuk, tidak berubah warna dan tidak berkulat. Semasa membersihkan bahan-bahan mentah, pasti dilakukan dengan sebaik-baiknya. Bersihkan segala kekotoran yang ada. Ketika memasak, terutamanya ikan, makanan laut, daging, ayam dan telur dimasak sehingga betul-betul masak. Semasa menyajikannya pula, pastikan makanan tidak dibiarkan terdedah dan jangan menyimpan makanan yang sudah dimasak lebih daripada empat jam pada suhu bilik.

Panduan menyediakan hidangan sihat:
  • Pastikan anda mengambil kira tentang Piramid Pemakanan setiap kali anda menyediakan hidangan untuk keluarga.
  • Pelbagaikan cara penyediaan makanan seperti menggoreng, merebus, mengukus dan memanggang.
  • Gunakan bahan mentah yang segar.
  • Jaga kebersihan ketika di dapur.
  • Kurangkan penggunaan gula dan garam ketika memasak.
  • Penggunaan lemak juga perlu dikurangkan.
  • Cuci bahan-bahan mentah yang ingin dimasak bersih-bersih.
Makanan siap dan segera

Makanan segera memang sangat digemari kanak-kanak lebih-lebih lagi makanan yang menawarkan permainan sebagai hadiah. Membeli makanan di restoran atau gerai-gerai pula adalah pilihan bagi ramai ibu bapa yang bekerja dan tidak ada banyak masa untuk masak sendiri. Memang cara ini lebih mudah, ringkas dan cepat. Tapi, kita sering terlepas pandang tentang bahan-bahan yang terkandung dalam makanan yang dibeli itu. Adakah makanan tersebut sesuai untuk setiap ahli keluarga atau tidak? Bukan sahaja kandungan, tahap kebersihan dan proses penyediaan makanan tersebut adakah benar-benar mencapai tahap yang sepatutnya?

Memang makanan segera seperti burger, kentang goreng dan ayam goreng mengandungi sejumlah protein, zat besi, kalsium dan beberapa jenis vitamin yang diperlukan oleh tubuh. Akan tetapi, kebanyakan makanan tersebut tinggi kalorinya, tinggi kandungan gula dan garam serta berlemak. Makanan tersebut kurang serat dan vitamin yang juga diperlukan tubuh. Ketidakseimbangan inilah yang akan mendatangkan masalah pada kesihatan.
Kandungan sebenar makanan segera anda:
  • Burger daging seberat 230gm dianggarkan mengandungi 57gm lemak tulen. Selain lemak, burger daging mengandungi protein, zat besi, vitamin B12 dan sedikit serat. 
  • Ayam goreng kaya dengan lemak dan banyak garam. Walaupun begitu, di dalam ayam goreng juga ada protein, niasin dan vitamin B6.
  • Kentang goreng juga mengandungi banyak garam dan lemak selain daripada protein dan vitamin C.
  • Minuman berkarbonat terlalu banyak gula, pewarna kimia dan kafeina.
Jika terpaksa membeli di restoran atau gerai, ada beberapa perkara perlu diikuti:
  • Pilih makanan yang segar dan baru dimasak.
  • Hadkan pengambilan makanan yang dirasakan mengandungi banyak bahan pewarna dan perisa tambahan.
  • Jangan beli makanan yang sudah hangus.
  • Pastikan makanan yang dibeli tidak mengandungi benda-benda asing seperti rambut, batu, pasir dan serangga.
  • Perhatikan juga persekitaran restoran atau gerai.
  • Perkakas yang digunakan untuk menyajikan makanan pun perlu diperhatikan.
  • Elakkan makanan yang sudah digoreng berulang kali.
  • Pilih hidangan yang seimbang mengikut piramid pemakanan.
  • Untuk minuman, elakkan minuman berkarbonat.
Kalau terpaksa membeli di restoran makanan segera pula,
  • Pilih ayam panggang dan elakkan memilih ayam goreng.
  • Pilih saiz sajian yang kecil.
  • Pilih hidangan yang kurang lemak.
  • Jangan pesan minuman berkarbonat, sebaliknya pilih jus buah-buahan atau air kosong .
  • Jika ingin mengambil salad, pastikan sosnya rendah kalori.